Mengenai Pulau Redang

Keindahan Pulau Redang yang memukau dengan air birunya yang jernih dan pasir pantainya yang putih telah lama menjadi tempat tarikan pelancong yang ingin berehat dan bercuti. Dengan kemudahan resort dan kediaman kelas pertama, Pulau Redang sesuai dikunjungi oleh semua lapisan pungunjung.

Ia terletak 45km utara dari Kuala Terengganu dan mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari Jeti Shahbandar, empat puluh minit dari Jeti Merang dan setengah jam dari Pulau Perhentian. Jadi, anda sebenarnya boleh berkunjung kedua-dua pulau ini dalam satu percutian sekiranya anda kesuntukan masa.

Pulau Redang terletak di kawasan yang telah digazetkan, iaitu Taman Laut Pulau Redang, yang turut menempatkan pulau-pulau kecil yang lain. Ia berada di bawah kawal selia Jabatan Taman Laut Malaysia, yang berperanan untuk melindungi, mengurus dan memastikan hidupan liar & marin serta persekitaran sentiasa terpelihara. Di Pulau Redang, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti snorkeling dan menyelam untuk menyaksikan terumbu karang dan hidupan laut yang eksotik. Ia sememangnya adalah destinasi utama penyelam dan wajib dikunjungi sekiranya anda bercuti di Terengganu.

Namun begitu, dalam keterujaan menyaksikan keunikan hidupan laut, perlu diingatkan bahawa keindahan ini perlulah dipelihara dan anda tidak dibenarkan untuk berdiri atau memijak terumbu karang semasa menyelam, kerana ia adalah aset negara yang perlu dilindungi untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Selain daripada pantai dan terumbu karang, hutan paya bakau turut menjadi tarikan utama pelancong. Hutan ini adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan ekologi bukan sahaja hidupan laut, bahkan juga kawasan darat.

Tidak ramai yang tahu bahawa fosil tumbuhan dari Zaman Paleolitik Awal (berusia melebihi 250 juta tahun) juga pernah ditemui di di bahagian barat daya Pulau Redang, antara Pasir Macam Ayam dan Pasir Kechil.

Keindahan Pulau Redang yang memukau ini adalah kerana pantainya yang jernih, sesuai untuk berenang, berkelah dan berkhemah. Anda boleh berkunjung ke Teluk Dalam, Pasir Teluk Kalong, Pasir Panjang, Pasir Mak Simpan, Pasir Mak Kepit dan Pasir Changar Hutang yang turut menjadi pusat untuk penyu bertelur. Jadi, pastikan anda mengambil langkah yang sepatutnya sekiranya anda berada di zon-zon penyu bertelur ini.

Untuk menghayati keindahan pulau ini sepenuhnya, anda boleh melakukan aktiviti memanjat bukit, memerhati burung, serta melihat penyu dan hidupan-hidupan yang lain.



- Klik SINI untuk penginapan

Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookCheck Our Feed