Istana Maziah

Pernah menjadi pusat pemerintahan rasmi, Istana Maziah pada hari ini hanya digunakan semasa perayaan dan majlis istimewa seperti hari keputeraan. Terdapat juga perancangan untuk menjadikan istana ini sebagai muzium. Lokasinya yang strategik berdekatan sungai, Dataran Syahbandar dan Bukit Puteri menjadikannya mudah untuk dikunjungi pelancong. Di hadapan istana ini terdapat pintu gerbang yang dibina untuk memperingati kemahkotaan ayahanda kepada Sultan sekarang, iaitu Sultan Mahmud Al Muktafi-billah Shah pada tahun 1980. Pintu gerbang ini dibina dari marmar dan besi, dan bahagian atasnya adalah lambang diraja berwarna emas. Disebaliknya terdapat pintu gerbang asal serta menara tinjau menghala ke kawasan masuk istana. Istana Maziah adalah antara istana tertua yang masih digunakan di Terengganu, dan dibina selepas istana asal, yang dipanggil Istana Hijau musnah akibat kebakaran selepas dibina oleH Sultan Omar pada tahun 1870. Selepas kebakaran, Sultan Zainal Abidin III mengarahkan supaya istana baru dibina pada tahun 1897. Walau bagaimanapun, oleh kerana kekangan ekonomi, istana ini hanya dapat disiapkan pada tahun 1903. Pada zaman Sultan Omar dan Zainal Abidin III, kompleks Istana Maziah dihubungkan dengan bahagian belakang (yang dipanggil rumah tele) melalui jejantas. Ini adalah sebagai langkah keselamatan untuk kaum wanita daripada dilihat oleh orang awam.

Kini, satu-satunya rumah tele yang tinggal boleh dilihat di Muzium Negeri. Sungguhpun begitu, peninggalan kompleks asal yang dipanggil “Dalam Kota” masih boleh dilihat pada hari ini. Istana Maziah telah mengalami banyak perubahan sejak dibina, semasa pemerintahan Sultan Sulaiman sehingga ke pemerintahan hari ini.

Senibina Istana Maziah diilhamkan daripada senibina Perancis dan Eropah, dan ukiran tempatan dijadikan sebagai hiasan dalaman dibahagian atas tingkap dan pintu, yang turut berfungsi sebagai laluan pengudaraan. Bahagian asas istana yang masih teguh sehingga ke hari ini pula dibina daripada campuran kapur, tanah liat, pasir air garam, putih telur, limau dan madu.



Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookCheck Our Feed