Ukiran Kayu

Salah satu profesion tertua yang masih diamalkan di sini adalah ukiran kayu dan pertukangan. Tukang kayu Terengganu bukan sahaja terkenal dengan kemahirannya dalam menghasilkan ukiran kayu, bahkan kepakaran mereka untuk membina bot dan rumah tradisional tanpa menggunakan paku. Bagi sebahagian rumah tradisional, panel di atas tingkap atau pintu turut menampilkan ukiran kayu, bukan sahaja untuk tujuan estetik, tetapi juga untuk tujuan pengudaraan.

Ukiran kayu pada hari ini mengambil inspirasi daripada rekabentuk Islamik, tumbuhan dan semulajadi, yang seterusnya diterjemahkan ke dalam bentuk ukiran halus bermotifkan bunga, ayat Al-Quran dan bentuk geometrik Islam. Seni ukiran pada hari ini tidak lagi menampilkan motif berunsurkan haiwan ataupun manusia. Walau bagaimanapun, ia telah wujud sejak sebelum zaman kedatangan Islam dan sebahagiannya menceritakan tentang dongeng dan legenda. Selepas kedatangan Islam, motif ukiran kayu telah disesuaikan, selari dengan ajaran Islam.

Salah satu destinasi yang wajib dikunjungi oleh penggemar kebudayaan ialah Desa Ukiran Kayu di Kampung Raja, Besut. Bengkel dan kelas yang pada awalnya disertai oleh mereka yang meminati seni ukiran kayu, kini sedang berkembang untuk menjadi pusat kecemerlangan vokasional. Pusat ini perlu dikunjungi bukan sahaja untuk menyaksikan tukang kayu menghasilkan karya, bahkan untuk menghayati keindahan binaan di desa ini; yang diwujudkan untuk mengetengahkan senibina Melayu tradisional Terengganu.

Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookCheck Our Feed