Tembaga

Pernah menjadi pengeluar utama tembaga di Malaysia, industri tembaga Terengganu telah berusia lebih dari 300 tahun. Terdapat dua jenis gred tembaga, iaitu tembaga kuning dan tembaga putih, di mana tembaga kuning adalah lebih berkualiti tinggi dan dijadikan barangan perhiasan rumah atau hadiah. Antaranya adalah tepak sirih, pemegang lilin, dulang makanan dan periuk untuk memasak. Sesetengah tukang masak menyatakan bahawa makanan akan menjadi lebih enak sekiranya dimasak dalam periuk tembaga. Bagi kebanyakan masyarakat tradisional Melayu pula, alat perenjis bunga mawar yang diperbuat daripada teembaga menjadi kewajipan dalam istiadat perkahwinan.

Dipercayai berasal dari China melalui pedagang dan karyawan, proses pembuatan tembaga mengambil masa yang panjang. Apa yang menyedihkan adalah bilangan karyawan tembaga kini semakin berkurangan dan pelbagai usaha sedang dijalankan untuk melatih pengusaha dan memelihara industri ini.

Terdapat sebuah kedai dan bengkel tembaga kecil di Ladang, Kuala Terengganu. Di sinilah bermulanya perniagaan tembaga terawal yang diusahakan oleh sebuah keluarga yang terdiri daripada karyawan tembaga. Jika berkesempatan, kunjungilah kedai ini untuk melihat sendiri barangan tembaga tradisional seperti seterika arang tembaga.

Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookCheck Our Feed