Pembuatan Keris

Keris adalah senjata tradisional Melayu yang dianggap sebagai lambang masyarakat Melayu. Keris bukan sahaja menjadi alat mempertahankan diri, bahkan dipercayai mempunyai kuasa mistik yang berupaya melindungi penggunanya dari bahaya. Legenda turut menyatakan bahawa keris akan mula bergetar dalam hulunya untuk memberikan amaran bahaya kepada penggunanya. Selain itu, ia juga digunakan oleh pengamal perubatan spiritual dalam upacara penyembuhan.

Bentuk keris yang berlekuk-lekuk adalah unik dan merupakan satu-satunya senjata yang mempunyai bentuk ini di dunia. Keris dianggap sebagai alat yang dihormati dan menjadi sebahagian daripada alat kebesaran DIraja. Adat Melayu mengkehendaki supaya keris sentiasa diasah dan diminyakkan dengan penuh hormat, di mana kemenyan akan turut diasapkan. Adakalanya, bilah keris akan diukir dengan ayat suci Al-Quran dan keris ini biasanya akan digunakan oleh pengamal perubatan untuk menyembuhkan penyakit.

Keunikan keris ini dilengkapkan dengan hulu yang menampilkan seni ukiran kayu, menyerupai burung raja udang atau objek yang diilhamkan daripada alam semula jadi.

Pembuat keris yang terkenal boleh ditemui di Kampung Pasir Panjang dan Kampung Ladang Titian di Kuala Terengganu.

Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookCheck Our Feed