Budaya

Terengganu merupakan salah satu destinasi utama pelancongan di Malaysia, bukan sahaja kerana tarikan semula jadinya, bahkan kerana kekayaan sejarah, seni warisan dan budayanya.

Negeri ini menempatkan karyawan terulung negara dari pelbagai bidang seperti songket, batik, tembaga, ukiran kayu, pembuatan bot, dan pertukangan asli. Tidak salah sekiranya Terengganu dirujuk sebagai negeri yang telah membentuk asas ketamadunan Melayu. Contohnya bagi tarian tradisional, Joget Gamelan adalah warisan Istana Diraja Terengganu dan merupakan satu-satunya pasukan gamelan di Malaysia.

Teknik pembuatan bot yang unik di Terengganu tanpa menggunakan sebarang pelan dan paku adalah salah satu kemahiran unik karyawan Terengganu. Penenun songket kami terkenal dengan ketelitian dalam rekabentuk serta inovasi dalam menggabungkan seni tradisional dan moden. Selain itu, Terengganu juga adalah satu-satunya negeri yang masih mengekalkan industri tembaga, dan sudah mencecah 300 tahun. Terengganu turut menjadi pengeluar utama Batik di Malaysia. Disebabkan aktiviti perdagangan dan keusahawanan kami yang sangat meluas, Terengganu turut pernah dirujuk sebagai “the Birmigham of the Peninsula” oleh Sir Hugh Clifford, seorang ahli tadbir Britain pada abad ke-19.

Terkenal dengan masakan dan hidangan yang unik, Terengganu menjadi buruan pelancong tempatan untuk menikmati nasi dagang (masakan negeri yang diperbuat daripada beras pulut yang dikukus dan dimakan bersama gulai ikan parang), sata (diperbuat daripada ikan), keropok lekor (keropok ikan) dan lain-lain juadah yang manis, dan adakalanya dengan nama yang unik.

Tatkala menerokai keindahan Terengganu, anda juga dapat menyaksikan kepelbagaian lapisan adat, senibina, makanan dan juga dialek, dan sekiranya anda dapat memahami mesej yang cuba disampaikan, anda akan tahu bahawa rakyat Terengganu sememangnya suka mengusik dan bergurau senda.

Para sejarawan telah mengakui legasi kebudayaan, seni tradisional dan kraftangan Terengganu adalah lambang keagungan dan kegemilangan artistik, lantas mendapat gelaran “Pusat Bermulanya Ketamadunan Melayu”.

Visit Us On TwitterVisit Us On FacebookCheck Our Feed